1. Bersahur. Pastikan kita bersahur dan pastikan kita melewat-lewatkan sahur. Sabda Rasulullah sallallaahu’alaihiwassallam, “Makanlah waktu sahur. Sesungguhnya makan waktu sahur itu mempunyai keberkatan.” (Mutafaq’alaih). Rasulullah juga pernah bersabda, “Sentiasa umatku dalam kebaikan jika mereka mengawalkan berbuka dan melewatkan sahur”. (Hadith Riwayat Ahmad). Selain itu, sahur juga menjadikan puasa kita istimewa. Sabda Nabi, “Perbezaan puasa diantara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah makan sahur:” (Hadith Riwayat Muslim)
2. Banyakkan membaca Al-Qur’an disamping mentadabbur ayat-ayatnya. Bulan Ramadhan adalah bulan Al-Qur’an. Dalam bulan Ramadhan inilah kita perlu menggandakan tilawah. Allah berfirman, “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan menjadi pembeza (di antara yang hak dengan yang bathil).” (Al-Baqarah:185). Bawalah mushaf Al-Qur’an ke mana-mana. Ambil peluang membacanya. Dalam LRT, semasa menunggu bas, ketika dalam kelas. Molek juga jika MP3 atau Ipod dipenuhkan dengan alunan Al-Qur’an. Dapat juga didengarkan sambil berjalan.
3. Sediakan masa untuk qailullah, yakni tidur sekejap waktu tengah hari (short nap). “Terdapat sebuah hadith daripada Ibnu Umar, beliau berkata, “Kami pada zaman Rasulullah sallallaahu’alaihiwassalam suka tidur di masjid, kami qailullah di dalamnya, dan kami pada waktu itu masih muda-muda.” (Kitab Fiqhus Sunnah, Juz I, hal. 252). Selain itu, Imam Ghazali juga menggalakkan qailullah. Katanya, “Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur yang sekejap pada siang hari kerana ia membantu ibadah pada malam hari. sebaik-baiknya hendaklah seseorang itu bangun daripada tidurnya sebelum gelincir matahari untuk menunaikan solat zuhur.” (Ihya’ Ulumuddin)
4. Pastikan setiap waktu solat fardhu dikerjakan berjemaah. Sebaiknya di masjid. Daripada Abu Hurairah radhiallaahuanhu katanya: “Nabi sallallaahu’alaihiwassallam bersabda, “Pahala solat berjemaah bagi seseorang lebih daripada solat bersendirian, sama ada di tempat kerjanya atau di rumahnya dengan gandaan dua puluh lima darjat. Kerana orang yang telah menyempurnakan wuduk kemudian pergi ke masjid dengan tujuan untuk bersolat semata-mata, maka setiap langkah perjalanannya itu diberi satu darjat (pahala) dan dihapuskan satu dosa sehingga dia masuk ke dalam masjid. Dan apabila dia berada di dalam masjid dia dianggap seperti orang yang bersolat selagi dia menunggu untuk berjemaah. Dan para malaikat mendoakan untuk seseorang selagi dia berada di tempat solatnya dengan doa : Ya Allah ya Tuhanku, rahmatilah dia, ampunilah dia, terimalah taubatnya selama dia tidak menyakiti, dan tidak berhadas di tempat itu.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
5. Pastikan kita melazimi solat sunah nawafil (rawatib). Sabda Nabi sallallaahu’alaihiwassallam, “Sesiapa yang menjaga 12 rakaat solat sunat, Allah akan menyediakan baginya rumah di dalam syurga iaitu; sebelum zohor 4 rakaat, selepas zohor 2 rakaat, selepas maghrib 2 rakaat, selepas insyak 2 rakaat dan sebelum subuh 2 rakaat.” (Hadith Riwayat At-Tirmizi)
6. Lazimkan diri dengan solat sunat Dhuha. Abu Hurairah radhiallaahuanhu menyebut, “Kekasihku sallallahu‘alaihiwasallam telah mewasiatkan kepadaku tiga perkara yang tidak akan pernah aku tinggalkan sehingga akhir hayatku; berpuasa tiga hari setiap bulan (hijrah), mengerjakan dua rakaat solat Dhuha dan mengerjakan solat Witir sebelum tidur.” (Hadith Riwayat Bukhari). Rasulullaah juga bersabda, Wahai anak Adam, janganlah engkau sampai tertinggal untuk mengerjakan solat empat rakaat pada permulaan siang (waktu Dhuha), nescaya Aku akan memberi kecukupan kepadamu sampai akhir siang. (Hadith Riwayat Abu Daud)
7. Pastikan kita tidak terlepas untuk solat tarawikh. Tidak kira sama ada di rumah, di masjid atau di mana-mana sahaja. Sesungguhnya solat tarawikh ini dikhaskan oleh Allah pada bulan Ramadhan sahaja. Nabi sallallaahu’alaihiwassallam bersabda, “Sesiapa mengerjakan sembahyang malam (tarawikh) dalam bulan Ramadhan, sedang ia beriman serta mengharapkan rahmat Allah Taala, maka ia akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Hadith Riwayat Muslim)
8. Qiyamullail. Cubalah sedaya upaya untuk bangun malam dan beribadah kepada Allah. Kalau boleh, bangun awal sebelum bersahur, mulakan dengan solat sunat beberapa rakaat dan bermunajat kepada Allah. Diriwayatkan daripada Abdur Rahman bin Auf radhiallahu ‘anhu bahwasanya Rasulullah Sallallaahu‘alaihiwasallam menyebut bulan Ramadhan seraya berkata, “Sungguh Ramadhan adalah bulan yang diwajibkan Allah puasa dan kusunnahkan solat malamnya. Maka barangsiapa menjalankan puasa dan solat malam pada bulan itu kerana iman dan mengharap pahala, niscaya bebas dari dosa-dosa seperti saat ketika dilahirkan ibunya.” (Hadith Riwayat an-Nasa’i)
9. Berbuka puasa dengan kurma dan air kosong. Sabda Nabi sallallaahu’alaihiwassallam, “Jika seseorang kamu berbuka, hendaklah ia berbuka dengan buah kurma. Sekiranya buah kurma tiada, bolehlah ia berbuka dengan air kosong. Sesungguhnya air itu bersih lagi suci”. (Hadith Riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi)
10. Memperbanyakkan berdoa. Rasulullah sallallaahu’alaihiwassallam bersabda, “Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang yang puasa, doa orang yang di zalimi dan orang yang musafir”. (Hadith Riwayat Bukhari). Selain itu, juga Rasulullah sallallaahu’alaihiwassallam bersabda, ”Doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa ialah ketika dia berbuka.” (Hadith Riwayat Ibn Majah). Maka, perbanyakkanlah doa kita, terutama sebelum berbuka puasa.
11. Mengurangkan bercakap, bergosip dan cuba elakkan berkonflik. Rasulullah sallallaahu’alaihiwassallam bersabda, “Bukanlah puasa yang sebenar orang yang hanya tidak makan dan tidak minum, puasa yang sebenar adalah orang yang tidak melakukan perbuatan dan perkataan yang lagha (sia-sia) dan tidak bercakap perkataan yang keji.” (Hadith Riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Baihaqi). Dalam hadith yang lain, baginda bersabda, “Apabila seseorang berpuasa, maka janganlah dia mengucapkan perkataan yang kotor dan jangan pula bertengkar. Sekiranya dia dimaki oleh seseorang atau diajak bergaduh maka hendaklah dia berkata: “Sesungguhnya saya sedang berpuasa.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim). Dalam hadith yang lain, baginda menyebut, “Sesiapa yang tidak meninggalkan cakap bohong dan berkelakuan buruk ketika berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah, baginya hanya lapar dan dahaga sahaja.” (Hadith Riwayat Bukhari). Perbuatan ini bukan saja perlu dielakkan di dunia nyata, bahkan juga di Facebook, Twitter, ruangan komen dan juga forum-forum.
12. Memberi makan kepada orang yang berpuasa. Rasulullah sallallaahu’alaihiwassallam bersabda,“Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berbuka puasa maka dia memperoleh pahalanya, dan pahala bagi yang (menerima makanan) tanpa dikurangi sedikitpun. (Hadith Riwayat Tirmidzi). Wah, sudahlah dapat pahala berpuasa, ditambah lagi dengan pahala puasa orang lain. Jom, berebut-rebutlah memberi makan kepada orang yang berpuasa.
13. Menggandakan sedaqah dan infaq. Diriwayatkan daripada Anas radhiallaahuanhu beliau bertanya Rasulullah sallallaahu’alaihiwassallam: “Wahai Rasulullah manakah sedekah yang lebih utama?” Baginda menjawab sedekah pada bulan Ramadhan. (Hadith Riwayat At-Tirmidzi). Selain itu, Ibnu Abbas radhiallaahuanhuma menyebut, “Rasulullah sallallaahu’alaihiwassallam adalah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawanannya pada bulan Ramadan.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
14. Berusaha mencari lailatul qadar. Sesungguhnya, inilah kemuncak kepada bulan Ramadhan iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Dengan rahmat kasih sayang Allah, Dia menghadiahkan kita malam yang seolah-olah ‘bilik waktu semangat’ dalam kartun Dragon Ball. Firman Allah, “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr. Tahukah kamu apa itu malam al-Qadr? Malam al-Qadr adalah malam yang lebih baik dari seribu bulan.” (Al-Qadr:1-3). Rasulullah sallallaahu’alaihiwassallam bersabda, “Barangsiapa yang mengerjakan qiyamullail pada lailatul qadar karana iman dan mengharap pahala, nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).
15. Cubalah sedaya-upaya untuk beri’tikaf di masjid-masjid pada 10 malam yang terakhir di bulan Ramadhan. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallaahu’alaihiwassallam telah beri’tikaf pada tiap-tiap bulan Ramadhan selama sepuluh hari tetapi pada tahun baginda wafat, baginda beriktikaf selama dua puluh hari. (Hadith Riwayat Bukhari)
Mungin masih banyak yang boleh dilakukan ketika Ramadhan ini. Tinggal lagi sama ada kita benar-benar mahu atau tidak untuk bermujahadah mencari mutiara-mutiara yang telah Allah janjikan dalam bulan tarbiyyah ini.
Janganlah kita leka lantas menjadi celaka kerana apabila tamatnya Ramadhan, dosa kita tidak diampunkan, sedangkan Allah telah memberikan pelbagai tawaran yang tidak terhingga nilainya.
Semoga perkongsian ini membawa manfaat kepada semua. Semoga Ramadhan kali ini lebih tersusun, berstrategi dan mengesan dalam diri kita.
No comments:
Post a Comment