14 October 2009

Amalan Diri

Generasi hari ini adalah generasi yang mengutamakan cetusan akal (bukan letusan emosi), dan / malah tidak kurang pula yang mengabaikan untuk mengambilkira cetusan iman. (Baca pandangan artikel di bawah)

Jesteru, tidak hairanlah pendekatan mereka sama ada percakapan dan perbuatan mereka banyak mencetuskan pelbagai konflik.

Keadaan ini disebabkan oleh cara mereka memenafaatkan ilmu dengan cara belajar tanpa "berguru". Kesannya, timbullah pelbagai pandangan dan idelism yang sekali pandang logiknya ada namun hakikatnya "tidak kena pada tempatnya".

Jesteru, marilah kita sama-sama menasihati sesama kita agar sentiasa menggarap potensi diri, menggilap kerohanian diri (moral dan etika), meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta mengukuhkan kualiti iman yang tulen dan sejati sepertimana yang dianjurkan oleh Allah s.w.t dan dipraktikkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. (hakiki)

Dan tidak lupa juga kita sama-sama :

  • Sentiasa berani menyatakan kebenaran (siddiq), bukan dusta.
  • Sentiasa telus & integriti (amanah), bukan curang.
  • Sentiasa menyampaikan seruan kebenaran (tabligh), bukan menyembunyikannya.
  • Sentiasa berfikiran cerdas (fatanah), bukannya dungu.
----------------------------------------------------------------------------------------------
Baca lah Pandangan ini: kemudian fikir..........

Dakwah berkesan dengan fahami jiwa remaja

DALAM kita meniti kehidupan sehari, dari soal membuat keputusan mahupun bersuara kita sering terlepas pandang soal pokok dalam menyatakan sesuatu. Kita seolah fokus dan terlalu obses dalam mempercayai setiap tindakan kita adalah benar tanpa mengambil kira pandangan lain.

Di antara kontradiksi yang berlaku sejak kebelakangan ini benar-benar mencetus suatu paradigma yang menyumbang kepada perspektif yang ingin saya rungkaikan.

Keputusan Pemuda Pas yang menggesa pembatalan konsert Beyonce juga saya kira suatu arahan yang tidak bermatlamat.

Adakah cuma ini sahaja jalan yang difikir releven untuk menyingkirkan pengaruh negatif dinegara kita ini? Bagaimanakah pula konsert artis tempatan kita, adakah mereka berpakaian jauh lebih baik dari Beyonce?

Jangan salah faham, saya juga bukan menyokong acara tersebut, tapi sekadar memberi pandangan.

Mungkin ramai yang memberi rasional bahawasanya pengamalan agama perlu pendekatan yang holistik, tetapi yang pasti bukan dalam keadaan yang drastik sebegini.

Tarbiah Nabi juga pada para sahabat juga dengan kaedah berperingkat. Tuhan faham limitasi manusia dalam membuat perubahan lantas tidak menurunkan perintah agama secara keseluruhan contohnya pembentukan iman, perintah solat, larangan meminum arak dan sebagainya.

Tetapi kita pula makhluk ciptaan memilih tarbiah yang drastik sedangkan kita sendiri dapat jangkakan penolakkan bakal berlaku.

Memang sesungguhnya fundemental dalam Islam tidak mengkompromi dalam soal urusan akidah dan hukum hakam, namun realitinya kita sedar negara kita sendiri telah tersasar jauh dari konsep sebagai negara islam, jadi perlu ada hikmah dalam setiap keputusan diambil.

Saya bukan ingin menggalakkan taqiyya, tetapi terkadang dengan menggunakkan kaedah prinsip lesser evil itu perlu.

Mungkin kita dapat cadangkan kepada kerajaan, jika artis tersebut ingin membuat persembahan, beri mereka kod etika pemakaian dalam membuat persembahan dan pastikan garis panduan itu juga perlu ditetapkan kepada semua artis dinegara ini dan barulah tiada sebarang kontradiksi dan pertikaian akan berlaku.

Kita tidak mahu anak muda dan rakyat membenci serta mereka lari jauh dari kita dan akhirnya sukar untuk kita mendekati mereka kerana hati mereka telah tertutup untuk melakukan perubahan kerana tiada ruang persefahaman.

Yang pasti saya selaku anak muda memang menginginkan perubahan tetapi bukan dalam suasana yang begini, saya juga faham manusia itu adalah mahluk yang paling fleksibel namun walaubagaiman pun mereka juga memerlukan waktu untuk beradaptasi dengan sesuatu yang baru.

Naif bila kita fikirkan dengan perkataan dan perbuatan kita dapat mengubah seseorang sedangkan perubahan itu sendiri adalah dengan izin Tuhan.

------------------------------------------------------------------------------------------------

Komen :

Sama-sama kita renung-renungkan dan selamat beramal.


13 October 2009

Tentang Politik Di Malaysia Terkini - Renung-renungkan...

Pandangan Dari Nobisha
Fakta 1 : PAS berjaya mengekalkan kerusi yang dimenanginya dalam PRU12 dalam pilihanraya kecil di Bukit Gantang, Manek Urai dan Permatang Pasir.

Fakta 2 : PKR berjaya mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam PRU12 dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh, Bukit Selambau dan Penanti.

Fakta 3 : Barisan Nasional berjaya mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam PRU12 dalam pilihanraya kecil Batang Air dan Bagan Pinang. Barisan Nasional kehilangan kerusi parlimen Kuala Terengganu kepada PAS.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Isa Samad yang menang dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang. Majoriti sebanyak 5,435 adalah cukup besar untuk menggambarkan sokongan pengundi kawasan itu kepada beliau dan Barisan Nasional.Kemenangan ini tentunya akan menjadi suntikan semangat kepada UMNO yang bersidang mulai 13 hingga 16 Oktober ini. Bagaimanapun, seperti yang saya sebutkan dalam Astro Awani malam tadi, ia adalah merupakan satu kemenangan sementara. Sementara tidak salah untuk Barisan Nasional merayakan kemenangan ini, namun cabaran yang lebih besar bagi parti itu ialah menghadapi PRU13 yang mesti diadakan sebelum Mac 2013.

Ketiga-tiga fakta di atas menunjukkan bahawa keputusan PRU12 masih tidak berubah. Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat yang kini mempunyai kekuatan yang agak seimbang mempunyai tugas berat untuk memenangi hati pengundi. Dalam politik pasca PRU12, garisan antara kerajaan dan pembangkang menjadi semakin kabur.Gabungan DAP, PKR dan PAS bukan saja diukur terhadap kehebatannya menyerang Barisan Nasional, tetapi juga kemampuannya mentadbir kerajaan-kerajaan negeri Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan. Sementara itu, Barisan Nasional juga akan dinilai kepada kemampuannya untuk memainkan peranan sebagai pembangkang yang efektif dan bermanfaat di negeri-negeri yang disebutkan itu. Parti-parti politik tidak lagi boleh membuat janji kosong dan mengharapkan rakyat akan menerimanya bulat-bulat.

Sejak mengambilalih jawatan Perdana Menteri, saya fikir Dato' Seri Najib Tun Razak telah mengambil beberapa langkah yang wajar bagi memenuhi kehendak rakyat. Bagaimanapun, apa yang penting sekarang ialah untuk menentukan keputusan kerajaan itu tidak digagalkan oleh kelemahan sistem penyampaian, termasuklah ketirisan sehingga menyebabkan kelompok sasar tidak mendapat manfaatnya.

Dalam hal ini, saya ingin melihat Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat menghentikan amalan politik naungan bagi membolehkan rakyat didahulukan.Pendekatan Najib untuk "reach out" kelompok sasar dengan melepasi parti komponen Barisan Nasional adalah sesuatu yang baik. Apabila beliau mendekati masyarakat India tanpa melalui MIC, ia boleh dilihat sebagai satu usaha memecah dinding penghalang yang menyebabkan Barisan Nasional dilihat sebagai kelab ekslusif. Inisiatif ini disambut positif apabila masyarakat India memberikan undi yang besar kepada Barisan Nasional di Bagan Pinang. Kemenangan di empat peti undi majoriti India (Siliau, Atherton, Bradwall dan Sua Betong) di situ menunjukkan sokongan kaum tersebut.

Pada minggu ini, tumpuan rakyat adalah kepada dua aktiviti politik penting.

Pertama, persidangan agung UMNO. Persoalan yang berlegar di minda kebanyakan kita ialah sejauh manakah pindaan perlembagaan UMNO akan membawa perubahan kepada proses membuat keputusan parti itu, sekaligus menjadikan lebih efektif dan efisyen dalam memenuhi tuntutan rakyat. Saya telah melihat deraf cadangan konsep pemilihan dan pindaan perlembagaan tersebut. Insya-Allah, saya akan menulis mengenainya dalam posting akan datang.

Kedua, mesyuarat majlis tertinggi MCA yang akan membuat keputusan susulan mesyuarat khas agung parti itu. Keputusan majlis tertinggi MCA bukan sahaja memberikan kesan kepada parti itu, tetapi juga kestabilan Barisan Nasional dan kemampuannya menghadiri pilihanraya umum akan datang. Di sinilah kita akan melihat sama ada mereka mempunyai kebijaksanaan menyelesaikan masalah.

Akhir sekali, berbalik kepada pilihanraya kecil Bagan Pinang. Saya percaya PAS akan melakukan post-mortem kekalahan tersebut. PAS sudah lama bertapak dalam politik Malaysia. Kalah-menang adalah perkara biasa bagi parti itu. PAS pernah menang Terengganu dan pernah kehilangan Terengganu. Saya percaya parti itu akan mengambil tindakan bagi menentukan apa sahaja kelemahan dalam kempen pilihanraya Bagan Pinang tidak berulang lagi.
Sebagai pemerhati, saya ingin mencadangkan tiga perkara berikut untuk diberikan tumpuan oleh PAS:

Pertama, PAS dilihat sebagai terlalu liberal dalam hubungannya dengan PKR dan DAP. Malah, ada yang berpendapat PAS terlalu banyak mengalah. Itu persepsi awam. Mungkin benar, mungkin salah. Politik adalah persepsi dan ia harus diuruskan dengan baik.

Kedua, PAS memposisikannya sebagai organisasi yang mempunyai nilai-nilai moral yang tinggi. Malah, saya fikir itu jugalah sebab mengapa ia dihormati (walaupun ada yang tidak setuju dengan sesetengah keputusan PAS). Bagaimanapun, dalam mengekalkan hubungan dengan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat, PAS dilihat mempertahankan beberapa perkara yang sebelum ini mereka tentang. Tidak hairanlah ada beberapa kenyataan pemimpin parti itu yang bercanggah dengan kenyataan terdahulu. Masyarakat menjadi keliru.

Ketiga, dalam pilihanraya Permatang Pasir, calon PAS tidak menjadi tumpuan. Kelemahan yang ada pada calon Barisan Nasional Rohaizat Othman menyebabkan orang tidak bercakap mengenai Salleh Man. Tidak banyak yang diketahui mengenai beliau. Dalam pilihanraya Manek Urai juga begitu. Hal yang sama berulang dalam pilihanraya Bagan Pinang. Ia menunjukkan seolah-olah PAS memberikan tumpuan kepada kekuatan parti dan sokongan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat untuk menang; bukannya pada kekuatan calon. Elok sekiranya PAS meletakkan calon yang artikulatif dan mampu menyatakan pendirian politiknya dengan jelas. Seseorang pemimpin politik harus berani menyatakan pendiriannya dengan terang.

Oh ya, mungkin ada yang kurang senang dengan cadangan-cadangan ini. Tak mengapalah, sebelum ini pun apabila saya memberikan cadangan, ada pembaca yang menghantar komentar berbahasa kesat dan maki-hamun. Malah, ada yang mempertikaikan niat dan keimanan saya. Nampaknya sesetengah orang tidak berminat membincangkan isu, sebaliknya memilih untuk menyerang orang yang memberikan pendapat.

Begitulah hebatnya politik kita!Bagi saya, terserahlah kepada bagaimana pemimpin dan penyokong parti-parti politik sama ada Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat hendak menerima ulasan ini.

Apa yang pasti ialah rakyat Malaysia sudah semakin bijak dan semakin berani membuat keputusan.

Tentulah menarik untuk melihat bagaimanakah mereka akan membuat keputusan dalam PRU13 nanti!
-------------------------------------------------------------------------------------------------

Komen :
Satu pandangan ikhlas untuk semua rakyat Malaysia bagi meletakan parti-parti politik ini sentiasa utamakan kehendak pengundi (rakyat) demi kelansungan survival di bumi yang bertuah ini.

09 October 2009

Renungan

Renungkanlah akan umurmu. Andaikata engkau berumur seratus tahun sekalipun, maka umurmu itu pendek jika dibandingkan dengan masa hidupmu kelak di akhirat yang abadi, selama-lamanya.

Cuba renungkan, agar dapat istirehat selama dua puluh tahun, dalam satu bulan atau setahun engkau sanggup menanggung berbagai beban berat dan kehinaan di dalam mencari dunia. Tetapi mengapa engkau tidak sanggup menahan beban ibadah selama beberapa hari demi mengharapkan kebahagiaan abadi di Akhirat nanti?

Jangan panjang angan-angan, engkau nanti akan berat untuk beramal. Yakinilah bahawa tidak lama lagi engkau akan mati.

01 October 2009

Salam Dari Melor - Selamat Hari Raya Aidil Fitri 2009

Salam untuk semua,

ALLAH HU AKBAR, ALLAH HU AKBAR, ALLAH HU AKBAR, WALILLAH HIL HAMD

Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir & Batin