29 July 2012

7 Kelebihan Bersahur Di Bulan Ramadhan


1. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya bersahur itu adalah berkat

2. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Hendaklah kamu Bersahur kamu kerana ia adalah makanan yang berkat
3. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Perbezaan antara puasa kita orang Islam dengan puasa ahli Kitab ialah kita makan sahur

4. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Memakan sahur itu boleh memberi kekuatan untuk berpuasa pada siang hari dan qailulah (tudir sekejap) pada siang hari (sebelum Zohor) boleh memberi kekuatan untuk qiamullail – hadis dari Ibnu Abbas

5. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat ke atas mereka yang bersahur – hadis dari Ibnu Umar

6. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Sentiasalah umatku itu dalam keadaan kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka dan melambatkan sahur

7. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Sahur itu berkat, oleh itu janganlah kamu meninggalkannya walau pun dengan meminum seteguk air kerana sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat ke atas mereka yang bersahur.

22 July 2012

Ramadhan Datang Lagi....Selamat Beramal


1. Bersahur. Pastikan kita bersahur dan pastikan kita melewat-lewatkan sahur. Sabda Rasulullah sallallaahu’alaihiwassallam, “Makanlah waktu sahur. Sesungguhnya makan waktu sahur itu mempunyai keberkatan.” (Mutafaq’alaih). Rasulullah juga pernah bersabda, “Sentiasa umatku dalam kebaikan jika mereka mengawalkan berbuka dan melewatkan sahur”. (Hadith Riwayat Ahmad). Selain itu, sahur juga menjadikan puasa kita istimewa. Sabda Nabi, “Perbezaan puasa diantara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah makan sahur:” (Hadith Riwayat Muslim)

2. Banyakkan membaca Al-Qur’an disamping mentadabbur ayat-ayatnya. Bulan Ramadhan adalah bulan Al-Qur’an. Dalam bulan Ramadhan inilah kita perlu menggandakan tilawah. Allah berfirman, “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan menjadi pembeza (di antara yang hak dengan yang bathil).” (Al-Baqarah:185). Bawalah mushaf Al-Qur’an ke mana-mana. Ambil peluang membacanya. Dalam LRT, semasa menunggu bas, ketika dalam kelas. Molek juga jika MP3 atau Ipod dipenuhkan dengan alunan Al-Qur’an. Dapat juga didengarkan sambil berjalan.

3. Sediakan masa untuk qailullah, yakni tidur sekejap waktu tengah hari (short nap). “Terdapat sebuah hadith daripada Ibnu Umar, beliau berkata, “Kami pada zaman Rasulullah sallallaahu’alaihiwassalam suka tidur di masjid, kami qailullah di dalamnya, dan kami pada waktu itu masih muda-muda.” (Kitab Fiqhus Sunnah, Juz I, hal. 252). Selain itu, Imam Ghazali juga menggalakkan qailullah. Katanya, “Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur yang sekejap pada siang hari kerana ia membantu ibadah pada malam hari. sebaik-baiknya hendaklah seseorang itu bangun daripada tidurnya sebelum gelincir matahari untuk menunaikan solat zuhur.” (Ihya’ Ulumuddin)

4. Pastikan setiap waktu solat fardhu dikerjakan berjemaah. Sebaiknya di masjid. Daripada Abu Hurairah radhiallaahuanhu katanya: “Nabi sallallaahu’alaihiwassallam bersabda, “Pahala solat berjemaah bagi seseorang lebih daripada solat bersendirian, sama ada di tempat kerjanya atau di rumahnya dengan gandaan dua puluh lima darjat. Kerana orang yang telah menyempurnakan wuduk kemudian pergi ke masjid dengan tujuan untuk bersolat semata-mata, maka setiap langkah perjalanannya itu diberi satu darjat (pahala) dan dihapuskan satu dosa sehingga dia masuk ke dalam masjid. Dan apabila dia berada di dalam masjid dia dianggap seperti orang yang bersolat selagi dia menunggu untuk berjemaah. Dan para malaikat mendoakan untuk seseorang selagi dia berada di tempat solatnya dengan doa : Ya Allah ya Tuhanku, rahmatilah dia, ampunilah dia, terimalah taubatnya selama dia tidak menyakiti, dan tidak berhadas di tempat itu.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

5. Pastikan kita melazimi solat sunah nawafil (rawatib). Sabda Nabi sallallaahu’alaihiwassallam, “Sesiapa yang menjaga 12 rakaat solat sunat, Allah akan menyediakan baginya rumah di dalam syurga iaitu; sebelum zohor 4 rakaat, selepas zohor 2 rakaat, selepas maghrib 2 rakaat, selepas insyak 2 rakaat dan sebelum subuh 2 rakaat.” (Hadith Riwayat At-Tirmizi)

6. Lazimkan diri dengan solat sunat Dhuha. Abu Hurairah radhiallaahuanhu menyebut, “Kekasihku sallallahu‘alaihiwasallam telah mewasiatkan kepadaku tiga perkara yang tidak akan pernah aku tinggalkan sehingga akhir hayatku; berpuasa tiga hari setiap bulan (hijrah), mengerjakan dua rakaat solat Dhuha dan mengerjakan solat Witir sebelum tidur.” (Hadith Riwayat Bukhari). Rasulullaah juga bersabda, Wahai anak Adam, janganlah engkau sampai tertinggal untuk mengerjakan solat empat rakaat pada permulaan siang (waktu Dhuha), nescaya Aku akan memberi kecukupan kepadamu sampai akhir siang. (Hadith Riwayat Abu Daud)

7. Pastikan kita tidak terlepas untuk solat tarawikh. Tidak kira sama ada di rumah, di masjid atau di mana-mana sahaja. Sesungguhnya solat tarawikh ini dikhaskan oleh Allah pada bulan Ramadhan sahaja. Nabi sallallaahu’alaihiwassallam bersabda, “Sesiapa mengerjakan sembahyang malam (tarawikh) dalam bulan Ramadhan, sedang ia beriman serta mengharapkan rahmat Allah Taala, maka ia akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Hadith Riwayat Muslim)

8. Qiyamullail. Cubalah sedaya upaya untuk bangun malam dan beribadah kepada Allah. Kalau boleh, bangun awal sebelum bersahur, mulakan dengan solat sunat beberapa rakaat dan bermunajat kepada Allah. Diriwayatkan daripada Abdur Rahman bin Auf radhiallahu ‘anhu bahwasanya Rasulullah Sallallaahu‘alaihiwasallam menyebut bulan Ramadhan seraya berkata, “Sungguh Ramadhan adalah bulan yang diwajibkan Allah puasa dan kusunnahkan solat malamnya. Maka barangsiapa menjalankan puasa dan solat malam pada bulan itu kerana iman dan mengharap pahala, niscaya bebas dari dosa-dosa seperti saat ketika dilahirkan ibunya.” (Hadith Riwayat an-Nasa’i)

9. Berbuka puasa dengan kurma dan air kosong. Sabda Nabi sallallaahu’alaihiwassallam, “Jika seseorang kamu berbuka, hendaklah ia berbuka dengan buah kurma. Sekiranya buah kurma tiada, bolehlah ia berbuka dengan air kosong. Sesungguhnya air itu bersih lagi suci”. (Hadith Riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi)

10. Memperbanyakkan berdoa. Rasulullah sallallaahu’alaihiwassallam bersabda, “Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang yang puasa, doa orang yang di zalimi dan orang yang musafir”. (Hadith Riwayat Bukhari). Selain itu, juga Rasulullah sallallaahu’alaihiwassallam bersabda, ”Doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa ialah ketika dia berbuka.” (Hadith Riwayat Ibn Majah). Maka, perbanyakkanlah doa kita, terutama sebelum berbuka puasa.

11. Mengurangkan bercakap, bergosip dan cuba elakkan berkonflik. Rasulullah sallallaahu’alaihiwassallam bersabda, “Bukanlah puasa yang sebenar orang yang hanya tidak makan dan tidak minum, puasa yang sebenar adalah orang yang tidak melakukan perbuatan dan perkataan yang lagha (sia-sia) dan tidak bercakap perkataan yang keji.” (Hadith Riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Baihaqi). Dalam hadith yang lain, baginda bersabda, “Apabila seseorang berpuasa, maka janganlah dia mengucapkan perkataan yang kotor dan jangan pula bertengkar. Sekiranya dia dimaki oleh seseorang atau diajak bergaduh maka hendaklah dia berkata: “Sesungguhnya saya sedang berpuasa.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim). Dalam hadith yang lain, baginda menyebut, “Sesiapa yang tidak meninggalkan cakap bohong dan berkelakuan buruk ketika berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah, baginya hanya lapar dan dahaga sahaja.” (Hadith Riwayat Bukhari). Perbuatan ini bukan saja perlu dielakkan di dunia nyata, bahkan juga di Facebook, Twitter, ruangan komen dan juga forum-forum.

12. Memberi makan kepada orang yang berpuasa. Rasulullah sallallaahu’alaihiwassallam bersabda,“Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berbuka puasa maka dia memperoleh pahalanya, dan pahala bagi yang (menerima makanan) tanpa dikurangi sedikitpun. (Hadith Riwayat Tirmidzi). Wah, sudahlah dapat pahala berpuasa, ditambah lagi dengan pahala puasa orang lain. Jom, berebut-rebutlah memberi makan kepada orang yang berpuasa.

13. Menggandakan sedaqah dan infaq. Diriwayatkan daripada Anas radhiallaahuanhu beliau bertanya Rasulullah sallallaahu’alaihiwassallam: “Wahai Rasulullah manakah sedekah yang lebih utama?” Baginda menjawab sedekah pada bulan Ramadhan. (Hadith Riwayat At-Tirmidzi). Selain itu, Ibnu Abbas radhiallaahuanhuma menyebut, “Rasulullah sallallaahu’alaihiwassallam adalah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawanannya pada bulan Ramadan.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

14. Berusaha mencari lailatul qadar. Sesungguhnya, inilah kemuncak kepada bulan Ramadhan iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Dengan rahmat kasih sayang Allah, Dia menghadiahkan kita malam yang seolah-olah ‘bilik waktu semangat’ dalam kartun Dragon Ball. Firman Allah, “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr. Tahukah kamu apa itu malam al-Qadr? Malam al-Qadr adalah malam yang lebih baik dari seribu bulan.” (Al-Qadr:1-3). Rasulullah sallallaahu’alaihiwassallam bersabda, “Barangsiapa yang mengerjakan qiyamullail pada lailatul qadar karana iman dan mengharap pahala, nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).

15. Cubalah sedaya-upaya untuk beri’tikaf di masjid-masjid pada 10 malam yang terakhir di bulan Ramadhan. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallaahu’alaihiwassallam telah beri’tikaf pada tiap-tiap bulan Ramadhan selama sepuluh hari tetapi pada tahun baginda wafat, baginda beriktikaf selama dua puluh hari. (Hadith Riwayat Bukhari)

Mungin masih banyak yang boleh dilakukan ketika Ramadhan ini. Tinggal lagi sama ada kita benar-benar mahu atau tidak untuk bermujahadah mencari mutiara-mutiara yang telah Allah janjikan dalam bulan tarbiyyah ini.
Janganlah kita leka lantas menjadi celaka kerana apabila tamatnya Ramadhan, dosa kita tidak diampunkan, sedangkan Allah telah memberikan pelbagai tawaran yang tidak terhingga nilainya.

Semoga perkongsian ini membawa manfaat kepada semua. Semoga Ramadhan kali ini lebih tersusun, berstrategi dan mengesan dalam diri kita.

18 July 2012

Cara Rasulullah S.A.W Sambut Ramadhan


Adalah Rasul SAW yang mempersiapkan diri betul menyambut kedatangan setiap bulan Ramadhan.

Persiapan Rasul tersebut bukan hanya bersifat jasmani, melainkan gabungan jasmani dan rohani mengingat puasa sebagaimana ibadah yang lain adalah gabungan ibadah jasmani dan rohani, di samping ibadah yang paling berat di antara ibadah wajib (fardu) lain.

Oleh sebab itu, ia disyariatkan yang paling akhir di antara ibadah wajib lainnya. Persiapan jasmani tersebut dilakukan oleh Rasul SAW melalui puasa Isnin-Khamis dan puasa hari-hari putih (tarikh 13,14 dan 15) setiap bulan sejak bulan syawal hingga Sya'ban.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW sentiasa puasa Isnin dan Khamis. Dikatakan kepada beliau, "Wahai Rasul, engkau sentiasa puasa Isnin dan Khamis."

Beliau menjawab, "Sesungguhnya pada setiap hari Isnin dan Khamis Allah SWT mengampuni dosa setiap Muslim, kecuali dua orang yang bermusuhan. Allah berfirman, 'Tangguhkanlah keduanya sampai keduanya berdamai'. "(HR. Ibnu Majah).

Dalam kaitannya dengan puasa tiga hari setiap bulan, Rasul SAW bersabda kepada Abu Dzar Al-Ghifari RA, "Wahai Abu Dzar, jika engkau ingin berpuasa setiap bulan, maka puasalah tarikh 13,14 dan 15." (HR. Tirmidzi).

Sedangkan persiapan rohani dilakukan oleh Rasul SAW melalui pembiasaan solat tahajud setiap malam serta zikir setiap waktu dan kesempatan. Bahkan, solat tahajud yang hukumnya sunah bagi kaum Muslimin menjadi wajib bagi peribadi Rasul SAW.

Diriwayatkan oleh Aisyah RA yang bertanya kepada Rasul SAW mengenai pembiasaan ssalat tahajud, padahal dosa-dosa beliau telah diampunkan oleh Allah SWT, Rasul SAW menjawab dengan nada yang sangat indah, "Apakah tidak boleh aku menjadi hamba yang pandai bersyukur?"

Memasuki bulan Sya'ban, Rasul SAW meningkatkan kuantiti dan kualiti ibadah puasa, qiyamul lail, zikir dan amal salehnya. Peningkatan tersebut disebabkan semakin dekatnya bulan Ramadhan yang akan menjadi punca aktiviti kesalehan dan spiritual seorang Muslim.

Jika biasanya dalam sebulan Rasul SAW berpuasa rata-rata 11 hari, maka di bulan Sya'ban ini beliau berpuasa hampir sebulan penuh. Dikisahkan oleh Aisyah RA bahawasanya, "Rasulullah banyak berpuasa (di bulan Sya'ban) sehingga kita mengatakan, beliau tidak pernah berbuka dan aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh kecuali puasa Ramadhan. Dan aku tidak pernah melihat Rasulullah banyak berpuasa (di luar Ramadhan) melebihi Sya'ban. "(HR. Bukhari-Muslim).

Dalam riwayat Usama bin Zayed RA dikatakan, "Aku bertanya kepada Rasul, 'Wahai Rasulullah, Aku tidak melihatmu banyak berpuasa seperti di bulan Sya'ban?' Beliau menjawab, 'Sya'ban adalah bulan yang dilupakan manusia, letaknya antara Rejab dan Ramadhan. Di bulan tersebut amal manusia diangkat (ke langit) oleh Allah SWT dan aku menyukai pada saat amal diangkat aku dalam keadaan berpuasa '. "(HR. An-Nasa'i).

Sya'ban adalah bulan penutup rangkaian puasa sunah bagi Rasulullah SAW sebelum berpuasa penuh di bulan Ramadhan. Jika Rasul telah mempersiapkan penyambutan Ramadhan dengan berpuasa sekurang-kurangnya 11 hari di luar Sya'ban dan 20-an hari di bulan Sya'ban, bererti untuk menyambut Ramadhan Rasulullah SAW telah berpuasa yang sekurang-kurangnya 130 hari atau satu pertiga lebih dari jumlah hari dalam setahun.

Maka, hanya persiapan yang baiklah yang akan mendapat hasil yang baik, dan demikian pula sebaliknya. Semoga Allah SWT memberikan kesempatan kepada kita untuk mempersiapkan diri di bulan Sya'ban sehingga memperoleh hasil yang maksimum di akhir Ramadhan.

16 July 2012

11 Antara Amalan Mengalami Tranformasi Tanpa Sedar Dalam Masyarakat:



Satu: Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah. Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga si mati bagi meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. 

Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan simati? Atau harta peninggalan simati belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?
  • “Abdullah bin Ja’far berkata: Ketika tersebar tentang berita terbunuhnya Ja’far, Nabi SAW bersabda: Hendaklah kamu menyediakan makanan untuk keluarga Ja’far, mereka telah ditimpa keadaan yang menyebukkan (kesusahan)” (Dihasankan oleh at-Turmizi dan di sahihkan oleh al-Hakim)

Dua: Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan, bukan ia menambah pendapatan.
 
Tiga: Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik, kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik?
 
Empat: Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu. Sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.
 
Lima: Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.
Enam: Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan. Tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?
 
Tujuh: Bulan Ramadhan adalah bulan turunkan Al-Quran. Bahkan menjadi amalan tahunan dipertandingkan. Ramai orang Islam baca Al-Quran tetapi tidak tahu, tidak memahami, atau tidak menyeidiki maknanya. Tidak menasabah langsung ramai yang sudah pecen tidak pernah tahu pengertian kitab sumber asas agamanya sediri, sedangkan ribuan buku-buku lain telah ditela'ahi.. Baca Qur'an atau solat, bagai burung tiong berkata-kata!

Lapan: Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain..
 
Sembilan: Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. 

Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun ketar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.
 
Sepuluh: Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.
 
Sebelas: Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumah tangga kurang bahagia.

Sekian. Insya Allah bersambung.